TAPAH – Semua ketua kampung mesti menyediakan profil kampung masing-masing bagi memudahkan usaha membantu golongan yang memerlukan di samping merancang pelbagai program pembangunan dan keselamatan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, profil itu merupakan kunci segala maklumat yang terdapat di dalam setiap kampung.

Beliau berpendapat, sekiranya ketua kampung gagal menyediakan segala maklumat di dalam profil tersebut, bermakna mereka melaksanakan tugas tanpa matlamat serta sasaran yang jelas.

“Kita tidak mahu, apabila mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),  tidak berpandukan kepada profil itu, sebaliknya hanya membincangkan perkara-perkara yang biasa, tanpa menjurus kepada sasaran,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan geran tahunan RM200,000 kepada 40 JKKK dalam Parlimen Tapah di sini pada Rabu.

 

Setiap JKKK menerima geran RM5,000 untuk tujuan pengurusan di samping kegunaan ketika bencana.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Intergrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon yang juga ADUN Chenderiang.

Samsudin berkata, setiap profil kampung hendaklah dipantau oleh penghulu mukim yang berkenaan supaya ia boleh digunakan dengan segera dan setiap masa oleh pelbagai pihak seperti pejabat daerah, agensi kerajaan dan wakil rakyat.

“Kalau kita tidak ada profil kampung dan pelan tindakan, bagaimana kita hendak menguruskan kampong, apatah lagi dalam masa sekarang kita hendak menyediakan peluang pekerjaan.

“Kita mahu ketua-ketua kampung juga berbincang dan berfikir bagaimana hendak k meningkatkan pendapatan rakyat, khususnya dalam bentu-bentuk usahawan yang boleh dilahirkan, khususnya di kawasan masing-masing,” ujarnya.

Menurut beliau, walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai program untuk membantu usahawan melalui 14 jabatan dan agensi tetapi ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh pentadbiran di peringkat akar umbi.

  

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ketua-Ketua Kampung Parlimen Tapah, Zainudin Zainal Abidin berkata, penyediaan profil kampung sangat penting kerana ia akan memudahkan segala urusan mereka.

“Alhamdullah, terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah memberi geran tahunan RM5,000 setiap JKKK kerana ia akan meringankan beban kami untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan,” ujarnya.

Timbalan Pengerusi persatuan itu, Mohd Amin Abd Halim pula berkata, dengan adanya profil yang disediakan, pihaknya dapat memantau masalah kemiskinan, keselamatan dan rancangan pembangunan kampung.