IPOH: Setiap ketua kampung di negeri Perak perlu mempunyai pengkalan data mengenai penduduk di kampung masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, pengkalan data itu bertujuan memudahkan pengurusan dan pelaksanaan program kebajikan serta pembangunan.

Menurut beliau, antara maklumat yang perlu di dalam pengkalan data itu ialah senarai golongan B40 untuk memudahkan pengagihan bantuan di samping senarai mereka yang mungkin terlibat dengan gejala sosial.

“Data-data ini sangat penting untuk membantu penduduk kampung di samping memberi kaunseling kepada mereka yang pernah terlibat dengan gejala sosial,” katanya ketika berucap mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Ketua-Ketua Kampung Negeri Perak ke-22 di Bangunan UMNO Perak di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Pertubuhan Ketua-Ketua Kampung Negeri Perak, Sukiman Jalil dan Ketua Kg Balun, Aisyah Ahmad yang merupaka satu-satunya ketua kampung wanita di negeri Perak.

Samsudin berkata, peranan ketua kampung sekarang semakin mencabar, oleh itu mereka perlu bergerak lebih pantas daripada masyarakat kampung.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi PEMADAM Perak meminta ketua kampung memainkan peranan lebih besar dalam menangani masalah dadah di kampung mereka.

“Walaupun ada enam fokus utama, tetapi saya berharap ketua-ketua kampung dalam memberi tumpuan kepada tiga fokus untuk membenteras dadah iaitu keluarga bebas dadah, pekerja bebas dadah dan pelajar bebas dadah,” ujar beliau.

Sementara itu, Sukiman memberitahu, setakat ini terdapat 839 ketua kampung di negeri Perak dan 812 daripadanya merupakan ketua pusat daerah mengundi (PDM).

Beliau turut menzahirkan janji bawa mereka akan kerja kuat untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pada majlis berkenaan, Samsudin turut meluluskan sumbangan sebanyak RM30,000 untuk pertubuhan ketua-ketua kampung itu.