SERI ISKANDAR: Polis menahan seorang ketua kampung dan merampas pelbagai jenis mercun tanpa permit dan rokok seludup yang disorokkan di sebuah kuaters kerajaan di Kampung Gajah, pada Ahad.

Lelaki berumur 57 tahun itu yang juga peniaga kedai runcit, diberkas dalam serbuan kira-kira 11.15 malam, hasil maklumat dan risikan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohd Zainal Abdullah berkata, rampasan melibatkan 17 jenis mercun seperti mercun bola, thunder crackling clap, roket dan lebah, yang dilarang dimiliki, dijual dan digunakan.

“Kita percaya dengan tertangkapnya barang kes ini, tidak ada lagi penjualan mercun secara berluasa di sekitar kawasan Kampung Gajah dan juga Daerah Perak Tengah, khususnya.

“Kita lihat rampasan-rampasan ini seperti mercun bola amat merbahaya sebab tu kita perlu mengambil tindakan penguatkuasaan berterusan supaya tidak akan ada yang menjadi mangsa kepada bahan-bahan terlarang ini,” katanya dalam sidang media di sini, pada Selasa.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, bekalan mercun itu diperolehi dari pembekal di Teluk Intan yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.

Sehubungan itu, kata Mohd Zainal, pihaknya juga akan berkongsi maklumat yang diperolehi dengan ibu pejabat polis yang lain, bagi membantu membenteras penjualan mercun tanpa permit.

Katanya, nilai rampasan mercun ialah RM5,000 dan rokok RM2,000 tetapi harga jualan mungkin lebih tiga kali ganda daripada nilai tersebut.

Suspek direman sehingga Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.