IPOH – Kerajaan Pakatan Harapan Perak mengiktiraf kedudukan ketua pembangkang dalam Dun dengan memberi beberapa kemudahan termasuk pejabat.

Speaker Dun Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad turut diberi kemudahan kereta rasmi, dua pegawai, pemandu dan elaun tambahan setiap bulan.

Menurutnya, keputusan itu dipersetujui sebagai satu lagi penambahbaikan yang dilakukan kerajaan negeri pada persidangan baharu yang akan bermula, Isnin depan

“Dalam sistem demokrasi, pihak pembangkang tidak patut dianggap sebagai musuh tetapi dihormati kerana memainkan peranan yang telah ditetapkan.

“Selain itu, masa yang ditetapkan oleh ketua pembangkang untuk berbahas telah ditambah daripada 40 minit ke satu jam. Masa bagi setiap Adun berbahas ditambah menjadi 30 minit dan masa soal jawab pula ditambah ke sejam 30 minit setiap hari,” katanya dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, semalam.

Koo Ham berkata, pintu masuk ke Dun dikawal oleh pegawai-pegawai keselamatan Dun dan bukan lagi PDRM.

“Perubahan ini perlu supaya tidak timbul persepsi negatif bahawa Dun Perak adalah dibawah jagaan dan kawalan sebuah agensi eksekutif.

“Media juga diberikan akses terus dan liputan siaran langsung persidangan Dun. Media diminta untuk bekerjasama dengan urus setia dewan supaya semua mendapat peluang untuk meliputi persidangan itu,” katanya – sinar