IPOH: Ketua Pembangkang Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin mengesa kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) negeri itu menyelesaikan konflik dalaman yang melanda parti itu ketika ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Perak berkata, walaupun konflik itu berskala kecil namun ianya dilihat menjejaskan parti baharu berkenaan.

“Kita doakan mudah-mudahan masalah kecil dihadapi PPBM dapat diselesaikan secara dalaman dan elok.

“Ianya kemungkinan sedikit telah menjejaskan Bersatu (PPBM) dan kita rasakan ianya perkara kecil seperti kocakan dalam cawan kopi barangkali,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan beberapa Ketua Penaja Bahagian serta 1,000 ahli PPBM Perak keluar parti ekoran jemu dengan konflik dalaman parti itu.

Terdahulu, Mohamad Nizar bersama-sama Pemuda AMANAH Perak membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak lagi mengedarkan Rang Daftar Pemilihan Tambahan (RDPT) kepada parti politik seperti terdahulu.

“Tindakan SPR adalah bertentangan dengan undang-undang dan Perlembangaan. Ini menimbulkan kebimbangan kerana tanpa RDPT, pelbagai manipulasi dan penipuan terhadap daftar pemilih akan dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Oleh itu saya membuat laporan bagi menggesa satu siasatan dibuat bagi mengetahui sama ada wujud salah guna kuasa oleh mana-mana pihak yang mendorong kepada tindakan SPR ini,” ujar beliau.