SHAH ALAM : Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor, Sallehuddin Amiruddin, meletak jawatan berkuat kuasa hari ini.

Menerusi kenyataan media di akaun Facebook miliknya, Sallehuddin menyatakan menghantar surat peletakan jawatan kepada Pengerusi BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.

Sallehuddin berkata, suasana politik semasa sejak Ahad lalu mendorong kepada tindakan itu.

“Sebagai ahli parti sejak 2016, saya akur dengan keputusan parti dan sentiasa menyumbang dan menyokong serta mendukung aspirasi parti sejak ia ditubuhkan.

“Namun, keputusan BERSATU keluar daripada Pakatan Harapan (PH) tidak dapat saya terima sama sekali kerana prinsip maruah parti diletak jauh ke belakang,” katanya.

Beliau berkata, perjuangannya selari dengan perjuangan parti bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk bersama PH menumbangkan kerajaan kleptokrasi.

Sallehuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, berkata ia berjaya direalisasikan PH dengan disokong majoriti rakyat di negara ini pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.

“Saya dengan ini meletak jawatan ini serta-merta dan kekal sebagai ahli biasa seumur hidup.

“Kepemimpinan tertinggi parti patut menghayati slogan ‘Bersatu, Beramanah dan Bermaruah’ dalam setiap tindakan parti demi agama, bangsa dan negara,” katanya.