KUALA LUMPUR: Kontrak perkhidmatan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abdul Adzis Abas ditamatkan berkuat kuasa 1 Disember ini.

Penamatan kontrak itu adalah tiga bulan lebih awal daripada kontrak asal yang sepatutnya tamat pada Februari tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, berkata keputusan itu dibuat oleh mesyuarat Lembaga Pengelola DBP.

“Ketika ini beliau sedang cuti bergaji bermula hari ini sehingga 30 November ini dan untuk tempoh ini saya akan menjalankan tugas berkenaan,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Abang Sallehuddin berkata, penamatan kontrak Abdul Adzis tidak akan menimbulkan spekulasi siapakah yang bakal mengambil alih jawatan berkenaan kerana iklan kekosongan jawatan Ketua Pengarah DBP akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi Ketua Pengarah DBP boleh mengemukakan permohonan sebaik sahaja iklan dikeluarkan,” katanya – berita harian