KUALA LUMPUR: Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz dibebaskan dari tahanan polis hari ini selepas seminggu ditahan dalam siasatan ke atas video seks sejenis yang menyasarkan seorang menteri.

Farhash melangkah keluar dari Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari ini dengan disambut laungan “Bebas Farhash” dari kira-kira 50 orang penyokong yang berhimpun sejak tengah hari tadi.

Setiausaha politik kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim itu ditahan pada 16 Julai lepas, bersama Haziq, lelaki di sebalik dakwaan video seks sejenis terhadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.

Pada 12 Jun lalu, Haziq menggemparkan negara apabila dia menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam video yang dikatakan dirakam di sebuah hotel di Sandakan, Sabah, namun menteri itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Azmin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu yang disifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Bekas setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Akin itu disiasat atas 4 kesalahan, termasuk melakukan hubungan seks di luar tabii dan mengedar bahan lucah, mengikut Seksyen 292, 504 dan 377B Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

 

-FMT