IPOH– Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan mengagihkan bubur lambuk kepada ketua-ketua jabatan, petugas trafik serta orang awam di Bulatan Sultan Abdul Aziz, di sini pada Rabu.

Program yang berlangsung saban tahun itu juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) antara polis dan orang awam.

Menurut Hasnan, program yang mendapat kerjasama dari Maggi itu melibatkan enam kawah bubur lambuk dan menghasilkan 1,600 bungkus untuk diagihkan kepada mereka yang terlibat.

“Kita nak agihkan kepada anggota polis yang sedang bertugas pada bulan Ramadan, sama ada di balai atau di lapangan termasuk pada orang awam,untuk sama-sama merasai kenikmatan berpuasa.

“Proses memasak seawal jam 6 pagi ini diadakan secara gotong-royong dan jumlah yang terlibat kira-kira 200 orang termasuk Maggi dan Perkep,” katanya pada program Memasak Bubur Lambuk di Bulan Ramadan.

Terdahulu, Hasnan mengagihkan bungkusan bubur lambuk kepada ketua-ketua jabatan serta wakil Perkep di Kediaman Rasmi Ketua Polis Perak.