IPOH: Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Siti Aishah Shaikh Ismail memuji usaha kerajaan negeri Perak dalam mengupayakan golongan wanita di negeri ini.

Beliau mengakui bahawa banyak program yang dilakukan oleh kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk pengupayaan wanita.

Menurut beliau, soal pengupayaan wanita bukan soal politik tetapi soal kebajikan dan dasar untuk membantu golongan tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata, pembuat dasar perlu bebas daripada sebarang anasir tetapi fokus kepada kelompok yang hendak dibantu

“Kalau kita buat dasar yang terlalu jumud dengan politik, kita akan melihat ia berat sebelah, ia dibuat ada kepentingan sendiri, bukannya kepentingan rakyat keseluruhannya,” katanya ketika menjadi panel dalam rancangan Analisis Suara Perak yang disiarkan secara langsung di laman Facebook, malam tadi.

Turut menjadi panel dalam rancangan itu ialah Ketua Puteri UMNO Negeri Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Salbiah Mohamed manakala Norli Mat Noh sebagai moderator.

Salbiah pula berkata, kerajaan negeri Perak melaksanakan pelbagai usaha dan program untuk mengupayakan wanita di negeri ini.

Selain melantik dua anggota Exco di kalangan wanita, ujarnya, Perak turut melaksanakan program untuk membantu wanita berniaga seperti Bazarnita, Ladies Lane dan Bantunita di samping insentif mengadakan tadika dan taska bagi memastikan wanita terus berada di dalam pasaran pekerjaan.

Kedua-dua panel mengakui Dr Zambry mempunyai jiwa pencinta wanita kerana menghargai, menyokong dan melaksanakan program-program pengupayaan wanita, sekaligus memartabatkan peranan wanita dalam pembangunan negeri.

Siti Aishah pula berpendapat lelaki bukan penghalang kejayaan wanita tetapi kelompok pemikiran lama dan pesepsi.

Kedua-dua ahli panel sependapat dalam beberapa isu, antaranya pengupayaan wanita harus bermula dari wanita sendiri, usaha itu perlu dilaksanakan merentasi ideologi politik dan perlu ada solidariti di kalangan wanita sendiri untuk bersama-sama memartabatkan dan mengupayakan wanita.

Bagaimapun, mereka mengakui peluang yang ada sekarang belum cukup kerana banyak lagi ruang yang boleh dilakukan dengan kerjasama wanita sendiri.