KUALA LUMPUR : Ketua Wanita PKR Perak Chua Yee Ling kesal dengan kenyataan Farhash Wafa Salvador dan menyifatkannya bertentangan dengan seruan Presiden PKR Anwar Ibrahim agar pemimpin dan anggota parti bersatu.

Jelas Chua, sebarang tindakan yang mencabar profesionalisme polis hanya akan menjejaskan kredibiliti dan melambatkan lagi penyembuhan dalaman parti.

“Buat masa ini, kita perlu bersabar dan menunggu laporan penuh, untuk mencari dalang sebenar.

“Kita mesti mematuhi disiplin parti dan memaparkan kualiti parti pemerintah yang bertanggungjawab. Melaungkan ‘Anwar sebagai PM’ dan ‘Azmin semburit’ tidak dapat diterima dan mengelirukan orang ramai.

“Saya menggesa parti mengambil tindakan disiplin yang serius,” kata Chua dalam satu kenyataan semalam.

Chua berkata demikian merujuk kenyataan Farhash, yang merupakan setiausaha politik Anwar, ketika dibebaskan dari tahanan polis semalam.

Ketika dibebaskan semalam, kira-kira 100 penyokong Farhash melaungkan slogan mendesak polis supaya tidak menjadi “alat politik”, “Reformasi! Anwar Ibrahim untuk perdana menteri! Azmin semburit “.

Farhash yang juga merupakan pengerusi PKR Perak ditahan sejak 16 Julai lalu berhubung siasatan beberapa kli video seks yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.

“Seperti yang dikatakan oleh Anwar (ketika pemukiman PKR hujung minggu lalu), parti mengalu-alukan kenyataan ketua polis negara bahawa Azmin tidak dapat dikaitkan dengan video itu kerana hasil pengecaman wajah negatif.

“Presiden PKR juga mengulangi bahawa PKR menolak dan mengutuk politik longkang,” katanya.