IPOH – Keuntungan sebelum cukai Lembaga Air Perak (LAP) meningkat kepada RM35.77 juta bagi tempoh Januari hingga 30 April tahun ini, berbanding RM33.40 bagi tempoh sama tahun lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, peningkatan sebanyak 7.1 peratus itu disebabkan beberapa faktor, termasuk pertumbuhan kawasan baharu perindustrian dan perumahan di negeri ini.

Menurut beliau, sepanjang tempoh itu, LAP turut merekodkan jualan air sebanyak RM112.04 juta, meningkat kepada 6 peratus berbanding RM105.71 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

“Keuntungan bersih LAP pula selepas cukai adalah berjumlah RM33.11 juta iaitu peningkatan sebanyak 7.0 peratus setelah mengambil kira cukai pendapatan sebanyak RM2.67.

“Laporan ini adalah bagi suku tahun pertama dan ia telah menunjukkan peningkatan. Sehubungan itu ┬ákita menjangkakan sekiranya perkara ini berterusan, maka kita mampu memperolehi pendapatan sama atau meningkat berbanding tahun lepas,” katanya.

Dr Zambry berkata, pemberian subsidi air kepada rakyat miskin di negeri ini juga terus dilakukan LAP dan sepanjang tempoh sembilan tahun perlaksanaannya sejak 2008 hingga 12 April, jumlah sudsidi yang diberikan melebihi RM7 juta.

Manakala bagi subsidi rumah ibadat yang diberikan sejak 2013 sehingga 12 April mencecah hampir RM500,000 yang melibatkan 1,970 rumah ibadat di seluruh Perak.