IPOH : Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak menjangkakan dapat mencatatkan keuntungan lebih RM3 juta menjelang hujung tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Nadzri Ismail berkata, sehingga September lalu PPN Perak mencatatkan keuntungan RM2.8 juta dan dijangka melebihi RM3 juta selepas kilang kelapa sawit di Beruas mula mencatatkan keuntungan mulai Ogos lalu.

Di samping itu, katanya, ia turut disumbang dari keuntungan lain seperti projek ternakan ayam dan lembu serta perolehan kontrak daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) daripada RM6 juta kepada RM13 juta.

“Kita telah sediakan asas yg kukuh untuk kepimpinan baru terutamanya kilang sawit,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPN Perak kali ke 43 di Hotel Casuarina @ Meru di sini, pada Khamis.

Nadzri berkata, walaupun akaun PPN Perak 2018 mencatatkan kerugian RM4.9 juta tetapi ia belum mengambil kira dividen dari Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebanyak RM2.7 juta.

“Sebenarnya selepas mengambil kira semua perkara, kerugian kita hanya kira-kira RM300,000 kerana menanggung operasi kilang kelapa sawit yang baru bermula kira-kira dua tahun dan mulai Ogos lalu ia mula menunjukkan keuntungan,” jelasnya.

Dalam pada itu Nadzri turut mengumumkan tidak bertanding dalam pemilihan kali ini selepas pindaan perlembagaan Warta Kerajaan Persekutuan, Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 berkuatkuasa 1 Mei lalu.

Pindaan peraturan 35(b) antaranya menyatakan menteri akan melantik lima anggota untuk jemaah pengarah setiap PPN manakala empat orang lagi dipilih dalam mesyuarat agung tahunan.

Berdasarkan peraturan asal, jemaah pengarah mempunyai 13 ahli dan semuanya dipilih oleh perwakilan dalam Mesyuarat Agunh.

Menurutnya, demi memastikan kelangsungan PPN, pihalnya akur dengan keputusan itu.

“Dalam masa sama kita meminta kepada kerajaan, kalau boleh kaji semula pindaan itu,” ujarnya.