IPOH: Sistem kewangan Islam mampu memainkan peranan penting bagi menyelesaikan satu daripada tiga isu dan cabaran utama yang mendepani dunia global semasa dan masa hadapan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, sistem kewangan Islam berpotensi menyediakan keperluan kewangan bagi menyelesaikan matlamat pembangunan global yang mapan serta krisis kemanusiaan dihadapi sekarang.

Titah baginda, Bank Pembangunan Islam (IDB) melaporkan nilai pengeluaran wakaf di India sahaja bernilai RM100.8 bilion (AS$24 bilion) manakala pembayaran zakat secara konservatifnya antara RM840 bilion (AS$200) hingga RM2,520 bilion (AS600 bilion) beredar di seluruh dunia setiap tahun.

“(Ia bermakna) Hanya sebahagian kecil zakat sahaja mampu memenuhi kadar minimum pembiayaan defisit global bagi tahun 2015,” titah baginda ketika menyampaikan titah diraja sempena Dialog Pangkor 2017 di sini pada Isnin.

383dc12d-286e-4609-aa81-5001d1ed6c3e

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq, Ketua Pegawai Eksekutif IDR, Dr Mazalan Kamis dan Penyelaras Residen UNDP ke Malaysia, Singapura dan Brunei, Stefan Priesner.

Sultan Nazrin bertitah, keperluan penyelesaian oleh sistem kewangan Islam menjadi semakin penting memandangkan 90 peratus daripada krisis kemanusiaan sekarang berlaku di negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) manakala 31 daripada 33 konflik semasa berlaku di negara majoriti Islam.

Justeru itu, titah baginda, pelbagai institusi kewangan Islam sedang berusaha memastikan instrumen seperti wakaf, zakat dan sukuk boleh disalurkan secara berkesan dan cekap untuk memenuhi keperluan berkenaan, walaupun menyedari ia bukan tugasan mudah.

Baginda juga bertitah, terdapat keperluan untuk mengkaji semula indikator yang digunakan bagi menilai pembangunan sesebuah negara atau kemajuan manusia.

Titah baginda, ini kerana, pertumbuhan ekonomi pantas semata-mata tidak boleh menjadi petunjuk terhadap kesejahteraan sosial serta kestabilan ekonomi.

“Prestasi ekonomi negara biasanya dinilai melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta indikator ekonomi yang lain.

“Bagaimanapun, kejayaan dalam mencapai matlamat pembangunan negara seharusnya tidak boleh dinilai menggunakan indikator ekonomi semata-mata kerana ada kalanya pembangunan ekonomi dilakukan tidak mendatangkan kesejahteraan sosial serta memberi kesan terhadap alam sekitar,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, satu lagi isu yang dihadapi ialah masa depan pekerjaan kerana banyak daripadanya tidak akan wujud lagi pada masa akan datang.

Titah baginda, terhadap kajian yang menunjukkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada 700 jenis pekerjaan sekarang akan dilakukan oleh mesin atau penggunaan teknologi.

Malah, baginda bertitah, perubahan teknologi bukan hanya mengubah jenis pekerjaan manusia tetapi juga tempat bekerja yang memerlukan sesebuah kerajaan memikirkan sistem pendidikan sesuai bagi memastikan jenis pekerjaan yang boleh diisi oleh generasi akan datang.

Baginda turut mengulas mengenai lima aliran utama global yang sedang berlaku iaitu bagaimana kemajuan teknologi mengubah dunia dan cara manusia hidup; kedinamikan demografi termasuk pertambahan penduduk, penuaan, migrasi dan perbandaran; serta masalah kemiskinan dan ketidakadilan masyarakat yang masih wujud.

Titah baginda, ia juga membabitkan krisis alam sekitar yang semakin meruncing dan kelima, isu keganasan, konflik serta krisis kemanusiaan yang masih berlaku dan memberi kesan terhadap kehidupan berjuta manusia serta memberi kesan terhadap sebarang prospek pembangunan.

Kira-kira 1,200 peserta terdiri pelbagai golongan termasuk peneraju industri, pemimpin politik, ahli akademik, pembuat dasar, penjawat awam dan pelajar menyertai program selama dua hari bertemakan `Memacu Masa Hadapan: Landasan Inovatif Ke Arah Pembangunan Mapan’ itu.

Dialog pangkor 2017 turut menampilkan pembentang antabangsa, antaranya Angkasawan Wanita Amerika Syarikat, Dr Catherine Cady Coleman, Datuk Bandar Oklahoma, Mick Cornett, pemegang rekod dunia Paralimepik Singapura, Dr William Tan serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.