IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, YB Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mendedahkan kewangan KPerak Implementation & Coordination Corporation (KPERAK) menyusut lebih RM10 juta dalam tempoh empat tahun.

Menurut beliau, pada 2013, KPERAK mencatatkan rezab tunai RM13.4 juta tetapi pada 2017, ia hanya tinggal RM3.3 juta.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan negeri akan memperbaiki kelemahan pengurusan KPERAK supaya ia selari dengan hasrat penubuhannya.

“Saya juga ingin menarik perhatian para ahli dewan berkaitan isu-isu salah urus tadbir beberapa buah GLC.

“Salah satunya ialah kepincangan urus tadbir didalam KPerak Implementation & Coordination Corporation (KPERAK) dimana objektif utama penubuhannya telah jauh menyongsang.

“Pihak pengurusannya telah gagal mentadbir urus sehingga menyebabkan prestasi kewangannya merosot,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beberapa wakil rakyat termasuk bekas Exco yang pernah menjaga KPERAK, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (BEBAS – Tualang Sekah), mempersoalkan kenyataan itu kerana ia boleh memberi gambaran negatif.

Dalam pada itu, YB Hasnul berkata, kerajaan Pakatan Harapan akan terus menggunakan Pelan Tindakan Pemerkasaan NGO yang telah dilaksanakan sebelum ini, tetapi dengan beberapa penambahbaikan.