Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TANJUNG MALIM: Jabatan Perdana Menteri hari ini mengiktiraf taraf kewibaan serta tahap pendidikan kepimpinan negeri yang wajar menjadi kebanggaan rakyat di seluruh negeri Perak.

Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata rakyat negeri Perak amat bertuah kerana mempunyai pemimpin berkaliber serta menerajui hala tuju dengan penuh wawasan dan perancangan progresif.

“Tidak ada lagi negeri di mana Sultannya (Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) dan Menteri Besarnya (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir) mempunyai satu tahap pendidikan yang begitu tinggi malah dari universiti yang terkenal di seluruh dunia.

“Anda amat bertuah di negeri ini, mempunyai kedua mereka yang memberi semangat, pendorong malah nilai tambah kepada negeri ini dan sebenarnya menjadi contoh baik kepada rakyat atau negeri-negeri lain,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan ketika menghadiri Program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Barat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini,hari ini.

Jelasnya,beliau secara peribadi amat menghormati Dr Zambry yang dilihatnya sebagai seorang idola dalam barisan kepimpinan kerajaan-kerajaan negeri di seluruh Malaysia.

Katanya, beliau yang mewakili Unit Perancang Ekonomi (UPE) di peringkat persekutuan akan sentiasa mendengar buah fikiran serta inisiatif yang diutarakan oleh Dr Zambry.

“Beliau sering memberi pendapat bernas sepanjang saya mengenali beliau dan ini bukan sahaja kerana tahap tingginya pendidikan beliau malah ideanya dalam perancangan negeri ini.

“Saya di UPE akan sentiasa terbuka mendengar rancangan beliau yang dikemukakan kelak untuk memajukan negeri Perak kelak,”katanya lagi.

Sultan Perak,Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik, Ekonomi dan Kerajaan dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Dr Zambry, Menteri Besar Perak yang ke 11 pula memegang dua Ijazah Doktor Falsafah (PhD),satu dalam Pemikiran Politik daripada Universiti Temple di Amerika Syarikat pada tahun 1995 dengan pengkhususan dalam bidang Politik Kontemporari dan ijazah Doktor Kehormat dalam bidang sains perikanan dari Universiti Kebangsaan Pukyong,Busan,Korea.