JOHOR BAHRU: “Saya menggigil apabila menerima panggilan membawa khabar duka daripada sepupu pagi tadi apabila dia menyatakan ibu saudara dan rakannya mati dibunuh di kediaman keluarga mereka,” kata seorang lelaki dikenali sebagai Subra, 35.

Subra berkata, keluarganya tidak menjangka terpaksa berkabung sempena Deepavali yang hanya tinggal lima hari kerana sudah lama bercadang meraikan sambutan perayaan itu bersama di kediamannya di Taman Skudai Baru di sini.

Katanya, pada tahun ini keluarganya juga menantikan ibu saudaranya, K Kamala, 51, dan sepupunya bagi melakukan persiapan terakhir sambutan Deepavali.

Dia difahamkan, Kamala yang tinggal di flat di Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) juga sudah melakukan beberapa persiapan.

“Saya tidak menjangka panggilan telefon sepupu pagi ini membawa khabar duka.

“Saya tidak dapat membayangkan detik mencemaskan apabila saya dan sepupu melihat ibu saudara dalam keadaan menyayat hati dan berlumuran darah.

“Saya sempat berbual dengannya menerusi telefon seminggu lalu dan tidak sangka tidak lagi berpeluang bertemunya,” katanya.

Subra berkata, dia juga bersimpati memikirkan nasib malang sepupunya berusia 31 tahun.

“Beberapa tahun lalu dia kehilangan bapa dan seorang adik-beradik lelakinya. Kini ibunya pula sudah tiada. Dia sebak dengan kejadian dan masih dalam kekeliruan memikirkan nasib dirinya.

“Kami belum ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) kerana berurusan dengan polis bagi membantu siasatan,” katanya sambil berharap sepupunya tabah menghadapi dugaan.