KUALA LUMPUR: Khairuddin Abu Hassan, yang dilihat sebagai penyokong tegar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, menggesa pihak berkuasa menyiasat ketulenan video-video lucah yang dikaitkan dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Saya memohon pihak polis untuk menyiasat semua video-video lucah yang memfitnahkan Anwar pada suatu masa dahulu disiasat secara komprehensif kerana keseluruhan rakyat Malaysia juga ingin mengetahui sama ada video-video tersebut tulen ataupun palsu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Khairuddin berkata dia akan mengumpulkan semula video-video lucah tersebut yang pernah ditularkan melalui media sosial pada suatu masa dahulu dan akan buat laporan rasmi kepada pihak penguatkuasa undang-undang dalam masa terdekat.

“Sesungguhnya, saya ingin buat laporan ke atas video-video lucah lama yang pernah tersebar sebelum ini yang pernah mengaitkan Anwar dalam rakaman tersebut.

“Dalam masa yang sama saya amat berharap pihak polis akan menyiasatnya secara terperinci untuk menzahirkan status sebenar video-video lucah tersebut sama ada ia tulen ataupun tidak.

“Keadaan ini juga akan mendatangkan kebaikan kepada mangsa yang difitnah kerana beliau juga harus membersihkan namanya sebelum mengambil-alih sebarang jawatan kerajaan yang tertinggi di negara kita,” katanya.

Gesaan itu hadir selepas Anwar berkata rakyat di negara ini mahu tahu dua perkara berhubung klip video seks yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali; iaitu kesahihan dan dalang yang menyebarkan.

 

-MalaysiaKini