KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan keputusan mahkamah sesyen membebaskan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad daripada tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada 2014.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membatalkan rayuan selepas pihak pendakwaan dalam sebutan hari ini memberitahu mahkamah bahawa tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah sesyen.

“Memandangkan hakikat bahawa pihak pendakwa raya tidak ingin meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah sesyen yang telah membebaskan responden, mahkamah ini akan membatalkan rayuan yang difailkan oleh pihak pendakwaan,” kata Nazlan, pagi tadi.

“Jadi, mahkamah mengekalkan keputusan mahkamah sesyen,” tambahnya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ashikin Mokhtar memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik rayuan selepas menerima arahan daripada ibu pejabat (Jabatan Peguam Negara Putrajaya).

Dengan membatalkan rayuan pihak pendakwaan, mahkamah tinggi mengekalkan keputusan pada 7 Jun 2018, Hakim Mahkamah Sesyen Rohatul Akmar Abdullah yang melepas dan membebaskan Khalid.

Sementara itu, Muhammad Faiz Fadzil, peguam kepada Khalid memberitahu bahawa pihaknya telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara meminta menarik balik rayuan terhadap keputusan pembebasan Khalid yang juga ahli parlimen Shah Alam.

“Kita menghantar representasi untuk dengan hujahan supaya meminta Jabatan Peguam Negara menarik balik rayuan. Dan mereka kaji balik kes ini dan mendapati tiada merit untuk meneruskan rayuan,” kata Faiz kepada pemberita.

“Memang ada representasi daripada peguam bela. Kami tak nak ada pihak mengatakan bahawa Yb (Khalid) dah jadi menteri ada unsur-unsur berat sebelah (keputusan tarik balik rayuan) dan sebagainya. Ada representasi untuk kaji balik kes (mengekalkan keputusan mahkamah sesyen) bahawa tiada kecenderungan penghasutan,” tambah beliau.

Ketika diminta memberi komen berkenaan keputusan mahkamah, Khalid memberitahu bahawa pihaknya tidak menggunakan kuasa untuk menutup kes ini.

“Kita tak menggunakan kuasa untuk tutupkan kes ini. Ia tetap dibicarakan dalam keadaan kita mencapai kemenangan selepas PRU14.

“Ia agak pelik kerana tidak ada penghujah baru pun, ia ditimbulkan balik untuk dirayu dan sebaliknya (walaupun) mahkamah melepaskan saya dan mendapati saya tidak bersalah,” katanya.

“Memang tidak ada mana-mana ucapan yang mengandungi unsur-unsur berhasutan,” jelas Khalid sambil mengucapkan terima kasih kepada pihak mahkamah dan Jabatan Peguam Negara.

Khalid, 62, didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut itu di kawasan lobi Parlimen pada 11.30 pagi, 17 Jun 2014 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 jika sabit kesalahan.

Namun, mahkamah sesyen membuat keputusan membebaskan Khalid selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadapnya.

Dalam penghakimannya, Rohatul Akmar berkata setelah meneliti perkataan dan perenggan ucapan dalam kes ini, mahkamah berpendapat perkataan yang dikeluarkan oleh tertuduh semasa kejadian itu adalah bersifat satu cadangan untuk mengkaji kuasa MAIS.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 12 saksi pendakwaan pada perbicaraan yang bermula 12 Jun 2016.