TANJUNG MALIM – Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid dengan kerjasama Pusat Keusahawanan & Kebolehpasaran Graduan (EDGE) serta Armada Sutera selaku penaja utama dan beberapa agensi lain menganjurkan Karnival Hari Terbuka Kolej Harun Aminurrashid (KHAT12), baru-baru ini.

Pengarah Program KHAT 12, Nur Liyana Syaheera Mohd Azhar berkata, program tahunan kolej itu bukan sahaja melibatkan warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tetapi juga menarik minat masyarakat luar.

Katanya, lebih 30 aktiviti dijalankan pihaknya bagi disertai bersama terutamanya kakitangan universiti awam seluruh negara.

“KHAT 12 kali ini adalah program besar pernah dianjurkan badan pelajar itu apabila 50 gerai jualan mengambil bahagian.

“Selain itu, menjadi tumpuan kejohanan bola jaring terbuka dan jemputan institusi pengajian tinggi awam serta swasta (IPTA/S) Sekolah UPSI 2018 anjuran bersama Kelab Bola Jaring UPSI,” katanya.

Nur Liyana Syaheera berkata, mereka juga berbangga prestasi MMK yang diberi jolokan Elvina Satria Keunggulan (ESK) oleh pengetua Kolej Harun Aminurrashid pada sidang kali ini.

Katanya, mereka bertungkus-lumus menyediakan sebuah program yang padat pelbagai aktiviti.

“Insya-ALLAH, pada masa depan kita akan berusaha melakukan yang lebih terbaik lagi berbanding sebelum ini,” katanya – sinar