IPOH:  Gunung Lanno, antara gunung terbesar di Lembah Kinta, Perak yang dilaporkan memiliki kira-kira 36 gua batu kapur yang cantik dan unik, kini terancam kerana aktiviti kuari mula menjejaskan warisan geologi itu.

Kecantikan Gua Air di gunung yang didakwa merupakan satu-satunya gua di Perak yang mempunyai struktur untuk menakung air dan juga laluan untuk air mengalir terjejas apabila letupan dari kuari mencacatkan gua itu baru-baru ini.

Penggemar aktiviti luar Uzair Suhairi, 27, berkata, kerajaan Perak perlu bertindak pantas memulihara gunung ini yang mempunyai begitu banyak gua dengan pelbagai tarikan, termasuk gua yang mempunyai kristal dan merupakan satu dunia yang tersembunyi dan perlu diterokai.

“Usaha untuk mengkaji dan mendokumen maklumat mengenai gunung ini perlu dilakukan segera memandangkan maklumat yang mengatakan terdapat 36 gua di Gunung Lanno telah dijalankan oleh peminat dan pengaji gua tempatan dan luar negara pada 2001.

“Mungkin ada lagi gua yang tidak dapat dikesan,” katanya baru-baru ini semasa lawatan ke gunung itu yang dianjurkan oleh Kinta Valley Watch, sebuah pertubuhan komuniti yang berpangkalan di Ipoh.

Bagi pencinta alam Vyonne Blake, anak kelahiran Ipoh dan kini menetap di Scotland, beliau tidak faham mengapa pihak bertanggungjawab mengeluarkan permit membenarkan gunung itu diletupkan memandangkan banyak artikel ditulis mengenai khazanah warisan geologi itu.

“Tujuh daripada 20 gua terpanjang di negara ini terletak di Gunung Lanno, dan terdapat begitu banyak artikel dan kertas penyelidikan yang ditulis mengenai gunung itu serta keperluan untuk memulihara dan memeliharanya.

“Namun gunung khusus telah diletupkan, “kata Vyonne yang merupakan pentadbir akaun Facebook awam “Kinta Heritage” yang didedikasikan untuk pemuliharaan, penghantaran dan promosi sejarah, warisan dan identiti Lembah Kinta.’

Yvoone berusia 60-an berkata, beliau tidak menentang aktiviti kuari, tetapi mahukan industri kuari di Ipoh diurus dengan lebih baik, seperti yang pernah dirancang 10 tahun lalu oleh kerajaan negeri agar industri itu menjalankan aktiviti mereka di bawah tanah.

Terdapat beberapa industri batu kapur di Perak yang menjalankan kegiatan kuari di bawah tanah seperti Tasek Corp di Kinta, Hume Cement di Kampar dan Lhoist di Batang Padang.

-FMT