Bagan Serai: Polis percaya kes kebakaran sebuah kereta Toyota Vios di tempat parkir sebuah rumah di Taman Kurau Jaya, Kuala Kurau, pada awal pagi Sabtu lalu disebabkan perbuatan khianat.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kes kebakaran itu dipercayai mempunyai kaitan dengan tangkapan seorang daripada empat suspek kes melepaskan tembakan dan memiliki pistol di Jalan Pantai, Kuala Kurau, pada 20 Julai lalu.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 5 pagi mengakibatkan Toyota Vios milik isteri suspek utama terbakar sehingga 90 peratus.

“Kes masih disiasat atas kesalahan cubaan khianat dengan api mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan polis masih menunggu laporan siasatan forensik daripada pihak bomba untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini, semalam.

Dalam kejadian Sabtu lalu, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau mengambil masa 30 minit untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran kereta berkenaan.

Ketua Operasi BBP Kuala Kurau Penolong Bomba Kanan II Ahmad Sani Nayan dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 5.14 pagi dan api dipadamkan sepenuhnya jam 6.05 pagi – hmetro