IPOH: Pengetahuan dan pengalaman bekas Setiausaha Kerajaan Negeri,Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dalam selok-belok pengurusan Sukan Malaysia (SUKMA) masih diperlukan oleh kerajaan Pakatan di Perak.

Menyedari perkara itu, Menteri Besar Perak,YAB MB Ahmad Faizal Azumu berkata khidmat Abdul Puhat akan diteruskan sebagai perunding untuk SUKMA edisi ke-19 yang akan bermula pada September depan.

Ahmad Faizal berkata keputusan untuk melantik Abdul Puhat yang merupakan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk SUKMA Perak 2018 sebelum ini sebagai perunding telah dipersetujui oleh pentadbiran kerajaan negeri Perak.

“Pada pandangan kami, beliau adalah orang yang memulakan tugasan penganjuran sukan Sukma dan kami memikirkan bahawa, pengalaman beliau amat diperlukan.

“Bagi kita (kerajaan Perak), kita tidak memikirkan latar belakang politik, kita mahukan yang terbaik untuk negeri kita dan saya percaya dengan perlantikan Datuk Seri Puhat sebagai perunding kepada anjuran sukan ini,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Sidang Media di Stadium Perak, dekat sini pada malam Sabtu.

Menurut Ahmad Faizal, perlantikan Abdul Puhat adalah salah satu bukti pentadbiran kerajaan yang ada hari ini bekerja tanpa menindas dan memilih bulu.

Katanya, pihak kerajaan negeri Perak juga sanggup bekerja dengan sesiapa sahaja asalkan dia melibatkan kebaikan negeri dalam membantu rakyat.

Abdul Puhat juga merupakan calon BN bagi Parlimen kerusi Parit Buntar namun kalah pada PRU-14 baru-baru ini.

Sementara itu, perunding SUKMA 2018, Abdul Puhat mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan negeri yang memberikannya kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab.

“Insya Allah saya akan cuba yang terbaik untuk pastikan Sukma berjalan lancar,”katanya lagi.