Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan sentiasa memastikan perkhidmatan Hab Percetakan Teragih MyKad (DPP) dikawal selia secara telus bagi mengelakkan sebarang cubaan memalsukan kad pengenalan warganegara Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN, Datuk Mohd Zahari Hassan berkata, program Hab DPP yang dilancarkan pada penghujung Mei lepas adalah bertujuan untuk memudahkan cara pemprosesan pengeluaran MyKad dan bagi memastikan tidak berlaku sebarang cubaan memalsukan kad itu.

“Pertambahan pengeluaran tidak melibatkan ciri-ciri keselamatan kerana kita mempunyai piawaian tertentu dan Operasi Pematuhan Standard (SOP) yang jelas, dan ianya tertakluk kepada proses audit.

“JPN akan diaudit oleh pihak luar sebanyak dua kali setahun; malah kita sentiasa mengambil masa untuk menambahbaik ciri keselamatan di dalam MyKad itu sendiri,” katanya kepada pemberita.

e552645a-7b28-4be1-b27e-261a343a7ca6

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Projek Hab Percetakan Teragih MyKad di JPN Perak, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Meru Raya di sini, hari ini.

Menurut Mohd Zahari, sejak projek itu dilancarkan, kebanyakan pengguna berpuas hati dengan tempoh singkat untuk mendapatkan MyKad.

Selain itu, katanya, ia memudahkan urusan yang melibatkan banyak agensi.

“Banyak bantuan kerajaan yang diberikan dan MyKad diperlukan bagi tujuan itu. Oleh itu, jika kehilangan MyKad, agak sukar untuk individu itu melakukan urusan harian (yang memerlukan pengesahan identiti).

“Buat masa ini , tiada sebarang masalah yang dihadapi oleh JPN Negeri Perak atau seluruh negara sejak pelancaran projek Hab DPP pada bulan Mei lepas,”katanya lagi.

Mohd Zahari berkata, projek Hab DPP merupakan penambahbaikan bagi menjimatkan masa percetakan MyKad iaitu selama lima hari berbanding 10 hari bekerja di Semenanjung Malaysia; dan tujuh hari berbanding 30 hari bekerja sebelum ini di Sabah dan Sarawak.

Setakat ini, terdapat empat hab utama dan 18 sub hab DPP di seluruh negeri ini yang turut memendekkan masa permohonan pendaftaran kad pengenalan kanak-kanak, MyKid yang boleh disiapkan dalam masa 24 jam sahaja berbanding 30 hari sebelum ini.