JITRA: Kementerian Pendidikan akan menamatkan serta-merta khidmat kontraktor Bekalan Makanan Bermasak (BMB) di sekolah berasrama sekiranya didapati menjadi punca kepada kes keracunan makanan.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementerian akan memasukkan klausa itu dalam kontrak untuk pengendali serta pembekal makanan dan ia merupakan satu daripada tiga penambahbaikan skop dan spesifikasi bagi kontrak BMB yang akan berkuat kuasa 1 Jun ini.

“Sebelum ini, kita biasanya akan membuat jawatankuasa khas yang akan menyiasat kes tersebut dan perlu melalui beberapa peringkat penilaian.

“Selepas ini kontraktor yang disahkan Kementerian Kesihatan bahawa kes keracunan makanan itu berpunca daripada kontraktor itu, mereka boleh ditamatkan kontraknya serta-merta,” katanya selepas melakukan lawatan khas ke Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu dekat sini Ahad.

Ketika ini terdapat 1,310 kontrak BMB membabitkan sekolah berasrama penuh, sekolah harian dan asrama desa.
Jelasnya, kementerian perlu mengambil langkah itu bagi mengelakkan kes keracunan makanan berulang memandangkan berlaku peningkatan 35 kes keracunan iaitu 98 kes tahun lepas, berbanding tahun sebelumnya.

“Hasil siasatan Kementerian Kesihatan mendapati antara punca berlakunya masalah itu adalah disebabkan oleh makanan yang disediakan di dapur asrama,” katanya.

Turut ditambah baik ialah kriteria pelantikan jawatan pengurus dan penyelia makanan yang bergantung kepada kategori sekolah; misalnya bagi sekolah kategori A iaitu yang mempunyai murid melebihi 600 orang, pengurus makanan perlu mempunyai diploma dalam bidang berkaitan dan tiga tahun pengalaman bekerja dalam bidang teknologi makanan.

“Kementerian turut membuat keputusan memberi peluang kepada kontraktor melanjutkan tempoh kontrak pembekalanan makanan dari dua kepada tiga tahun tertakluk kepada prestasi kontraktor dan pengesyoran pihak sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, kementerian juga kata Mahdzir mengambil inisiatif meningkatkan standard keselamatan penyediaan makanan di sekolah melalui program Rintis Pensijilan Amalan Pengilangan yang Baik (GMP) bagi dapur dewan makan Sekolah Berasrama Penuh (SBP).