IPOH: Sebuah kilang pembungkusan di‎serbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak kerana disyaki menjalankan aktiviti pembungkusan minyak masak menggunakan tong terpakai.
Dalam serbuan itu, sebanyak 100 tong minyak masak dirampas daripada kilang pembungkusan berkenaan yang terletak di Jalan Lahat, dekat sini.

“Tetapi berdasarkan siasatan awal, kita dapati syarikat pembungkus ini telah pun mempunyai kesalahan lalu iaitu menggunakan tong terpakai,” katanya pada pemberita selepas operasi pemeriksaan besar-besaran KPDNKK seluruh Perak ke atas pengilang, pembungkus serta pemborong minyak masak pada Khamis.

Beliau memberitahu, siasatan akan dijalankan mengikut Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM2 juta,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mojtahidin berkata, setakat ini, hanya terdapat satu kes dicatatkan bagi kesalahan menggunakan minyak masak kitar semula di Perak dan ia masih dalam siasatan.

Dalam operasi bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari itu, KPDNKK Perak telah memeriksa tiga buah kilang serta 24 syarikat pembungkusan minyak masak di sekitar Ipoh.

Menurut Mojtahidin, pihaknya berjaya menghasilkan lima kes terdiri daripada kesalahan perniagaan tanpa lesen, pemborong gagal menguruskan buku stok dan menggunakan tong kitar semula.