BAGAN DATUK: Sebuah kilang ikan tuna yang terbesar di Malaysia bakal dibina di Bagan Hutan Melintang dekat sini, tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kilang tersebut akan dibangunkan di atas tanah seluas 8.1 hektar di kawasan tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, kilang berkenaan apabila siap nanti bakal memberi peluang pekerjaan kepada kira-kira 2,000 penduduk di  sekitar Hutan Melintang dan Bagan Datuk.

“Perak menyumbang kira-kira 25 peratus produk hasil laut di seluruh Malaysia dan sebahagian besarnya datang dari Bagan Hutan Melintang

“Tapi nelayan-nelayan di sini merungut kita tak ada kilang dan industri yang besar, jadi rakan saya di Persatuan Nelayan cadangkan buka  sebuah kilang tuna di Bagan Hutan Melintang dan saya bersetuju sebuah kilang ikan tuna yang terbesar dibuat di sini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada jamuan makan malam sambutan Ulangtahun ke-35 Persatuan Hai Suah Hutan Melintang dan Perayaan Tahun Baharu Cina di Dewan Tokong Xian Fa Shi Gong di Hutan Melintang dekat sini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan terus membantu masyarakat Cina di negara ini, termasuk dari golongan nelayan.

Dalam hubungan ini, beliau memberitahu, usaha-usaha sedang dibuat untuk membantu melepaskan tiga bot nelayan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia pada bulan lalu.

Di samping itu, beliau memberi jaminan akan membantu menyelesaikan dalam masa 30 hari, masalah mendapatkan Mykad kanak-kanak yang dilahirkan di negara ini tetapi perkahwinan ibu bapa mereka tidak didaftarkan.

Sehubungan itu, beliau meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik mengumpulkan senarai kanak-kanak yang berkenaan.

Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa soal pendidikan, peluang perniagaan dan keselamatan akan terus menjadi keutamaan kerajaan.