SEMENYIH: Sebuah kilang perabot di Kawasan Perindustrian Jalan Semenyih, di sini, musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih, Zainal Elias Abdul Aziz, berkata seramai 32 pegawai dan anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih, BBP Bangi serta BBP Kajang dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 2.14 pagi.

Katanya, setiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati api marak sehingga menyebabkan keseluruhan kilang itu terbakar.

“Kami mengambil masa lebih tiga jam untuk mengawal kebakaran. Api padam sepenuhnya pada jam 4.30 pagi tadi.

“Difahamkan, ketika kejadian, hanya ada seorang pengawal keselamatan bertugas di kilang berkenaan. Bagaimanapun, lelaki itu berjaya menyelamatkan diri dan dilaporkan tidak cedera,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan – berita harian