IPOH – Seramai 90 pekerja warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak di sebuah kilang memproses ayam di Chemor hari ini setelah premis itu diserbu dipercayai menyalahgunakan permit pekerja warga asing.

Pengarah Imigresen negeri Kamaluddin Ismail berkata, serbuan yang dilakukan antara jam 11.30 pagi hingga 3 petang itu, menyaksikan seramai 90 daripada 150 pekerja warga asing berusia 20 hingga 40 tahun ditahan.

“Kita telah periksa seramai 150 orang dan menahan mereka yang disyaki melakukan kesalahan Imigresen iaitu seramai 90 orang lelaki yang berumur antara 20 hingga 40 tahun. Antara kesalahan ialah tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(C) 1959/63 dan Seksyen 6(1)(C) tanpa dokumen serta kesalahan Peraturan 39(B) salahguna pas.

“Mereka yang ditahan merupakan warga Bangladesh 20 orang, Nepal (28) dan India (42),“ katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Ipoh, hari ini.

Kamaluddin berkata siasatan awal mendapati pemilik kilang itu dipercayai menggaji pekerja warga asing dalam bidang pertanian untuk melakukan kerja dalam bidang pemprosesan.

Katanya, ketika serbuan kesemua warga asing yang ditahan itu sedang melakukan aktiviti pemprosesan ayam.

“Daripada segi (kadar bayaran) levi, majikan perlu membayar RM1,850 untuk (bidang) pemprosesan manakala RM640 untuk pertanian, jadi di situ sahaja sudah menunjukkan perbezaan ketara.

“Berikutan kadar bayaran itu rendah, jadi majikan meggunakan permit kerja untuk pertanian kerana lebih murah selain dapat menjimatkan kos serta mengaut keuntungan berlebihan.

Dalam operasi berasingan, Kamaluddin berkata, pihaknya turut menyerbu sebuah rumah urut di Medan Ipoh Bistari pada 9.30 malam semalam, dan berjaya menahan 25 wanita warga asing serta enam lelaki termasuk tiga warga tempatan.

“Berdasarkan siasatan awal, kita syaki premis berkenaan menjalankan kegiatan tidak bermoral iaitu aktiviti pelacuran.

“Kadar bayaran berbeza mengikut perkhidmatan iaitu untuk sekali servis, bayaran dikenakan sebanyak RM150 manakala RM550 sehari pada hari kerja dan RM650 sehari pada hujung minggu,” katanya.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke pejabat JIM Perak untuk siasatan mengikut Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.