KUALA KURAU: Dua kilang memproses telur masin di daerah ini diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak selepas hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mematuhi piawaian serta peraturan kebersihan yang ditetapkan.

Hasil operasi mengejut sekitar 10 pagi yang dianggotai oleh 40 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi itu, kedua-dua kilang berkenaan telah diberikan notis arahan tutup dan menghentikan sebarang operasi selama 14 hari.

Lebih menjijikkan, hasil tinjauan Suara Perak juga mendapati keadaan persekitaran kilang yang bukan sahaja terdedah kepada kuman malah lantai premis juga berulat dan kotor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon yang mengetuai operasi berkata, kedua-dua kilang berkenaan tidak mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan, malah cara penyediaan makanan kegemaran masyarakat Malaysia itu juga didapati amat kotor.

“Bagi kilang pertama, telurnya tidak dicuci dan diproses dengan kaedah betul sebaik diambil dari tanah liat malah tempat penyimpanan tanah liat juga terdedah kepada serangga dan tidak bertutup.

“Selain itu, cara pembuatan kuning telur masin iaitu “egg yolk” adalah dengan mengambilnya daripada telur perapan yang pecah, tidak dibersihkan sebaiknya, jadi ini bermaksud apa-apa serangga, najis atau bakteria boleh masuk terus ke dalam egg yolk berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan operasi itu dengan kerjasama dan sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Majlis Daerah Kerian.

Menurut Dr Mah, notis penutupan 14 hari itu adalah untuk memberi peluang dan memastikan pemilik kilang dapat membersihkan dan melakukan apa yang digariskan dalam panduan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Tegasnya, sebarang kecuaian dan pemprosesan menggunakan kaedah yang tidak berkualiti, akan mendedahkan pengguna kepada pelbagai masalah ancaman kesihatan, justeru ia tidak boleh dipandang remeh.

“Masa kita sampai, kilang ini nampak begitu bersih, namun hakikatnya ia tidak memberi perhatian dari segi aspek kebersihan, yang berada di dalam kilang itu.

“Saya suka menasihatkan, walaupun ada kilang yang telah beroperasi sejak 50 tahun lalu, namun mereka harus mengikuti perkembangan semasa dan mematuhi Akta Makanan 1983 dengan baik,” ujarnya.

Menurutnya, mana-mana kilang yang tidak menepati piawaian maka notis penutupan selama 14 hari akan dilanjutkan selepas pemeriksaan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

Dr Mah berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemeriksaan di setiap premis pemprosesan makanan dan berkaitan dengannya sepanjang tahun dalam usaha menjamin kualiti kesemua premis di negeri ini.

Sepanjang tahun 2016, sebanyak 317 premis kilang telah diperiksa di mana 16 daripadanya telah ditutup dan 20 menerima notis kesalahan bernilai RM33,030.

Bagi tahun 2017 pula, setakat ini sebanyak 67 pemeriksaan telah dijalankan dan sebuah kilang telah ditutup manakala 14 premis pula menerima notis kesalahan bernilai RM20,850.

ed55c0f2-417e-4fd2-b867-71cd99aa11e7

265c5d9d-717a-42ad-86ac-32bcd05b0a7a

0725824a-38a1-4216-b60f-6335da867142

f73ab1c3-5923-4a16-80ac-ffd5b294e4b7

c260e4e8-f254-4d84-b4c5-1d1b4cb2c901

7b6a7a62-7aa6-46b3-8be1-8381e30f5992

8e156cc5-8f93-452a-a6c2-4048dcf7787c