KAMPUNG GAJAH: “Saya masih terkejut kerana ia berlaku secara tiba-tiba. Saya masih tidak percaya emak, ayah dan adik kini sudah tiada, sekali gus menjadikan saya tinggal sebatang kara,” kata Muhamad Badrul Hafiz Mohd Jamil.

Muhamad Badrul Hafiz, 22, adalah anak kepada pasangan Rohaida Sidak, 48, dan Mohd Jamil Utok, 46, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 30, Jalan Bota Kanan-Teluk Intan, di sini, semalam.

Kemalangan itu turut mengorbankan anak bongsu pasangan terbabit, Nor Syarina, 19, yang juga pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil Shah di sini.

Muhamad Badrul Hafiz berkata, kejadian berlaku ketika dia berada di tempat kerja di sebuah kilang di Kampung Gajah, manakala ibu bapa dan adiknya dalam perjalanan pulang dari Teluk Intan.

“Mungkin ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang selepas membeli barang keperluan Nor Syarina yang sedang menjalani peperiksaan.

‎”Kali terakhir saya jumpa emak pagi semalam sebelum ke tempat kerja dan ketika itu, ayah sudah keluar menghantar adik (Nor Syarina) ke sekolah.

“Saya sempat bersalam dengan emak yang seperti biasa berpesan supaya berhati-hati dan tidak menunggang motosikal dengan laju,” katanya ketika ditemui di rumah ibu bapanya di Kampung Tersusun Balun Bidai di sini, hari ini.

Muhamad Badrul Hafiz berkata, dia yang ketika itu sedang duduk di tempat letak kenderaan selepas habis waktu kerja dimaklumkan rakannya mengenai kejadian menimpa keluarganya itu.

“Saya yang mahukan kepastian segera ke lokasi kejadian dan apabila tiba, luluh hati melihat kereta kami, namun ketika itu mereka semua sudah dibawa ke hospital.

“Saya sedih mengenangkan tiga insan tersayang dalam hidup pergi serentak, namun reda dengan takdir Allah,” katanya.

Muhamad Badrul Hafiz berkata, hubungan mereka sekeluarga amat rapat dan arwah bapanya, Mohd Jamil disifatkan seorang yang sentiasa berhati-hati di jalan raya serta tidak memandu laju.

“Kehilangan mereka meninggalkan kesan mendalam pada saya lebih-lebih lagi Ramadan semakin hampir, namun saya perlu kuat dengan sokongan ahli keluarga lain,” katanya.

Semalam, NSTP melaporkan PERODUA Myvi dinaiki tiga beranak itu dirempuh kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 30, Jalan Bota Kanan-Teluk Intan, di sini, dalam kejadian jam 5.20 petang.

Rohaida dan Nor Syarina maut di lokasi kejadian, manakala Mohd Jamil disahkan meninggal dunia di Hospital Teluk Intan (HTI) lima jam kemudian.

Tiga beranak terbabit dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Changkat Rambai di sini, jam 11.30 pagi tadi – berita harian