IPOH– Seramai 250 orang peserta yang terdiri dari atlet serta pelbagai agensi menyertai Larian Obor yang bermula di daerah Kinta Utara, bersempena Sukan Malaysia (SUKMA) XIX pada September ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Insan, Howard Lee Chuan Chow, program Larian Obor ini akan berlangsung pada 1 hingga 10 September 2018.

“Kita sebagai tuan rumah memang bersiap sedia dari pelbagai sudut bagi menjayakan SUKMA di sini, Larian Obor yang diadakan di Kinta Utara ini juga sebagai simbolik yang kita sudah bersedia menerima kedatangan para atlet dari seluruh Malaysia.

“Cadangan aktiviti Larian Obor di 12 daerah seterusnya seperti Muallim, Batang Padang dan Kampar (Kinta Selatan) di Stadium Mini Tun Ahmad Sarji manakala daerah Bagan Datuk dan Hilir Perak di Menara Condong, Teluk Intan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika merasmikan Majlis Larian Obor SUKMA XIX Perak 2018 berhampiran Stadium Indera Mulia, di sini pada Ahad.

Terdahulu, Howard menyempurnakan pelepasan Larian Obor yang bermula di pintu masuk Stadium Lawn Ball diikuti lokasi kedua iaitu PERNAMA Jalan Raja Ashman SShah, Padang Jalan Lee Kwee Foh, Mroof Hotel dan penamat larian di Stadium Indera Mulia.

Selepas Teluk Intan, Larian Obor akan diadakan di daerah Manjung dan Perak Tengah bertempat di Dataran Lumut, daerah Kerian dan Larut Matang dan Selama di Dataran Majlis Perbandaran Taiping manakala daerah terakhir di Hulu Perak dan Kuala Kangsar yang bertempat di Dataran Pavalion.