LEKIR: 30 tahun lalu, Siew Eng, 81, tidak pernah menyangka kanak-kanak India yang bermain di halaman rumahnya bakal menjadi penyelamat masa depan keluarganya satu hari nanti.

Namun, itulah yang berlaku kepada warga emas ini setelah insiden dan tragedi silih berganti dalam hidupnya, apatah lagi selepas kematian suaminya kira-kira 17 tahun lalu.

Ketika menceritakan mengenai R Saravanan atau lebih mesra dikenali sebagai Raja, Siew Eng kelihatan cukup sebak, lebih-lebih lagi mengenangkan nasib anak ketiganya, Kin Leng, yang kini cacat penglihatan.

“Semuanya bermula selepas suami saya meninggal dunia, satu persatu nasib malang menimpa. 

“Bermula dengan Kim Leng yang kini hanya dapat melihat sedikit sahaja, anak kedua pula mengalami masalah buah pinggang dan terpaksa berulang-alik mendapatkan rawatan di Kuantan.

“Awal tahun lalu, rumah usang dan kecil tempat kami berteduh pula terbakar. 

“Waktu itulah Raja datang dan mula menjaga kami, sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurut Siew Eng, ayah Raja adalah seorang penternak lembu yang dikenali penduduk Kg Spynie, Kayan kerana kemurahan hatinya membantu jiran di waktu susah.

Kini, sifat itu diwarisi Raja.

“Dia membawa kami tinggal dengan keluarganya selama seminggu, macam darah dagingnya sendiri. Dia juga membersihkan rumah yang pernah didiami abangnya, membelikan kami perabot baru agar kami berasa selesa.

“Kami mendapat bantuan JKM RM500 sebulan, tapi Raja tidak pernah lupa menghantar makanan kepada kami setiap hari, menghantar kami ke hospital jika sakit,” cerita warga emas itu.

Bagaimana, Raja yang ditemui di majlis yang sama hanya merendah diri apabila ditanya mengenai pengorbanan dan kebaikannya menolong jiran tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Saya dah kenal Aunty Siew Eng sejak kecil, anak-anak dia semua kawan baik saya, sama-sama bermain di kebun sawit dan sekitar kampung dulu, jadi apabila terjadi perkara seperti ini, saya mesti tolong.

“Saya mungkin tidak ada duit, tapi rumah dan apa yang mampu, saya bantu. Jiran-jiran lain pun ada yang beri beras dan makanan kepada mereka,” kata Raja yang tinggal kira-kira 50 meter dengan keluarga Siew Eng.

Raja, 39, berkata, dia berpegang kepada pesanan ayahnya agar sentiasa membantu sesiapa sahaja, tanpa mengira kaum, agama dan jangan sesekali mengharapkan balasan.

Sempena Tahun Baru Cina ini, Siew Eng dan anaknya bakal mendapat sebuah rumah baharu sumbangan kerajaan negeri melalui Yayasan Bina Upaya (YBU).

Rumah dua bilik yang bakal dilengkapi dengan kemudahan asas itu, akan dibina di atas tanah lot milik Raja, yang menghadiahkannya kepada dua beranak itu Tahun Baru Cina ini.

“Apa saya dan keluarga nakan, itulah yang akan dimakan Siew Eng dan Kim Leng…menolong orang, biar selagi mampu, ikhlas dan jangan pandang mereka siapa,” katanya.