PETALING JAYA : Lim Kit Siang hari ini menggesa Universiti Malaya (UM) menarik balik laporan polis terhadap seorang pelajarnya yang mengadakan protes dengan menunjukkan plakad terhadap naib canselornya semasa istiadat konvokesyen universiti, Isnin lepas.

Lim berkata Naib Canselor UM, Abdul Rahim Hashim sewajarnya menangani isu dibangkitkan pelajar, dan bukannya menyasarkan aktivis pelajar atas protes mereka mereka dengan membuat laporan polis.

UM membuat laporan polis terhadap Wong Yan Ke, seorang graduan jurusan kejuruteraan, mendakwa dia telah menunjukkan rasa tidak hormat semasa majlis konvokesyen dan mengganggu protokol istiadat.

Polis sedang menyiasat pelajar itu di bawah Kanun Keseksaan berhubung kesalahan menghina dan menggugat ketenteraman awam.

“Sememangnya, protes di majlis tamat pengajian universiti dan perkara-perkara lain yang berkaitan harus ditangani, tetapi bukan dengan cara keras dan bersalah yang akan meletakkan UM dalam keadaan buruk,” kata Lim dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata berdasarkan kenyataan Persatuan Kakitangan Akademik UM, protes itu bukan hanya disebabkan ucapan atau kehadiran Rahim pada Kongres Maruah Melayu, tetapi juga kerana ketidakpuasan membabitkan perkara-perkara lain di pusat pendidikan tinggi itu.

“Kegagalan Rahim untuk mempromosikan toleransi dan perpaduan kaum di kalangan pelbagai etnik di UM dengan melibatkan diri dalam penganjuran Kongres Maruah Melayu adalah kecacatan besar dalam kepimpinan beliau,” kata Lim lagi.

Wong menuduh bantahannya  Rahim diadakan kerana nama universiti itu telah digunakan untuk tujuan perkauman dan politik. UM merupakan salah satu daripada empat universiti menganjurkan kongres itu.

Beliau berkata kenyataan Rahim pada majlis itu telah menyebabkan ahli akademik dan pelajar lain mempersoalkan kesahihan akademik yang Rahim telah buat dalam program tersebut.

Wong dipanggil untuk memberi kenyataan di ibu pejabat polis daerah Petaling semalam. Wakilnya berkata lebih 10 laporan polis telah dibuat terhadap Wong.

Seorang lagi graduan, Edan Kon dihalang daripada menerima skrolnya pada majlis konvokesyen pada Selasa kerana cubaan menganggu perjalanan istiadat konvokesyen tersebut.