TELUK INTAN: Penasihat DAP, Lim Kit Siang berjaya mengelak daripada ditemurah ramah pihak media berkenaan pendedahan Penolong Penerbit UbahTV, Amran Ahmad berkaitan puluhan risalah dan rakaman video menfitnah kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN), termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kesemua wakil media yang hadir membuat liputan ceramah beliau di Anson Kopitiam di sini cuba mendekati Kit Siang sebaik sahaja beliau turun daripada pentas selepas habis berceramah sekitar 10.15 malam.

Namun usaha itu gagal apabila Kit Siang tidak mengendahkan kehadiran wakil media dan terus meninggalkan lokasi ceramah politik DAP dalam keadaan pantas.

Sebelum itu, usaha pihak media mendapatkan laluan berjumpa Kit Siang juga tidak dilayan oleh beberapa pegawai beliau sebaik pemimpin DAP itu tiba untuk majlis pada 9.30 malam.

Tindakan Kit Siang itu ternyata mengecewakan wakil media yang telah menunggu beliau sejak 7.30 malam lagi.

Dalam ceramahnya selama 40 minit itu, Kit Siang mengulangi tuduhannya terdapat kerajaan BN termasuk menyentuh mengenai nasib Najib yang akan berakhir di penjara Sungai Buluh selepas PRU-14 menggantikan tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam Amran, individu yang terlibat dengan operasi laman televisyen rasmi dalam talian DAP, Ubah TV telah mendakwa puluhan bahan propaganda berniat jahat dan berunsurkan fitnah itu sudah siap dan akan diedarkan secara berperingkat menjelang hari pengundian 9 Mei ini.

BERITA BERKENAAN : Ku Nan Bukan Pencuri, Merekalah Pencuri Sebenar!- Hamzah