KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang menggesa polis membebaskan semua individu yang ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 seperti yang dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut beliau, penahanan bekas Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM), Khalid Ismath dan individu lain di bawah akta itu tidak dapat dipertahankan sepenuhnya memandanghkan PH telah berikrar untuk menghapuskannya.

“Adalah satu sikap terpuji apabila Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melahirkan kesedihan Baginda kepada serbuah dan penahanan polis,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam kenyataan.

Semalam, Media melaporkan Khalid ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di rumahnya di Klang, Selangor pada 10.30 malam berhubung dakwaan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di laman sosial.

Bagaimanapun, hari ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki berusia 29 tahun itu dibebaskan selepas keterangannya diambil pagi ini dan tiada permohonan reman dibuat.

Menurut Kit Siang, semua polis dan kakitangan awam perlu membiasakan diri masing-masing dengan manifestio PH bagi mengetahui semangat, falsafah dan hala tuju kerajaan walaupun undang-undang dan dasar masih belum diubah.

Tambahnya, ini akan mengelakkan mereka bertindak bertentangan dengan ikrar PH.

 

-Malaysiagazette