SERDANG- Bekas Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tetap berharap Lim Kit Siang terus bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pengalaman dan kepakaran Kit Siang masih diperlukan dalam usaha kerajaan Pakatan Harapan untuk membawa Malaysia Baharu ke puncak kejayaan.

“Peralihan kuasa itu bergantung kepada kepimpinan (Pakatan Harapan) tetapi tidak mengapalah apa-apa pun ,tetapi saya tetap hendak Yang Berhormat (Lim Kit Siang) bersama-sama kita menuju Malaysia Baharu ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Jururawat Antarabangsa di sini hari ini.

Dua hari lepas, veteran DAP itu sanggup mempertaruhkan kerjaya politiknya dengan bersara dan tidak bertanding di dalam PRU-15 akan datang sekiranya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menyerahkan jawatannya itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan sebelum PRU-14 lalu.

Menurut Kit Siang, proses peralihan kuasa itu akan berlaku dengan lancar tanpa perlu membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya baharu seperti yang didakwa Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Dalam pada itu, Wan Azizah menyifatkan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, Sabtu lalu adalah bukti parti pemerintah itu tetap diterima rakyat meskipun pernah dikalahkan dalam tiga PRK sebelum ini. – MalaysiaGazette