KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengesahkan akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti kali ini.

Ahli Parlimen Rembau terbabit mengesahkan perkara itu dalam wawancara bersama South China Media Post (SCMP) di Pejabat Pemuda UMNO Malaysia di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Khairy turut mengulang siar entri Twitter wakil wartawan media terbabit di akaun Twitter rasminya @khairykj, sekali gus menolak dakwaan akan bertanding bagi jawatan Presiden atau Timbalan Presiden UMNO.

Pemilihan UMNO kali ini menyaksikan semua jawatan tertinggi parti termasuk Presiden dan Timbalan Presiden bakal dipertandingkan.

Keputusan itu dibuat susulan kekalahan teruk UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam berkata, pendaftaran pencalonan untuk pemilihan parti bagi semua jawatan bermula hari ini.

Beliau dilaporkan berkata, pemilihan dilaksanakan melalui konsep terbuka tanpa perlu melalui pihak lain.

Pemilihan kali ini turut menyaksikan tiga kaedah diguna pakai untuk pendaftaran pencalonan iaitu melalui dalam talian bermula 1 Jun sehingga 17 Jun ini.

Jika pendaftaran dalam talian tidak berjaya, mereka boleh membuat pendaftaran melalui Pejabat UMNO Bahagian. Borang pendaftaran boleh dimuat turun dan dihantar ke Ibu Pejabat pada 17 Jun bermula 8 pagi hingga 5 petang.

Ibu pejabat UMNO juga akan mempamerkan senarai akhir pencalonan yang melepasi kelayakan bertanding – berita harian