KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, mengakui kesal kerana tidak berterus-terang dengan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, berhubung penolakan akar umbi terhadap parti itu.

Katanya, ia berlaku selepas bekas Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, disingkir daripada kepemimpinan parti.

“Selepas Muhyiddin dan Shafie dikeluarkan, tiada siapa mahu mengakui ada masalah dalam UMNO. Itu kesilapan besar di pihak kita.

“Apakah ada isyarat? Ya, isyaratnya jelas tetapi kita tidak menyedarinya,” katanya dalam wawancara bersama Channel News Asia (CNA).

Menegaskan ia tidak boleh berulang, Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) itu berkata, UMNO mesti menerima realiti dan tidak menyoal soalan yang sukar.

“UMNO akan pupus jika kita kita meneruskan pemikiran feudal untuk melindungi pemimpin daripada kebenaran,” katanya.

Muhyiddin dan Shafie digugurkan daripada barisan Kabinet pimpinan Najib selepas lantang mengkritik mengenai skandal 1MDB secara terbuka.

Muhyiddin kini adalah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menjadi antara gabungan Pakatan Harapan (PH) manakala Shafie menerajui Parti Warisan Sabah.

Dalam keadaan undi Melayu tidak lagi berpihak kepada UMNO dan BN, Khairy berkata, sudah tiba masanya UMNO mengkaji semula strukturnya, termasuk kemungkinan membuka keahlian kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama.

Katanya, komponen BN seperti MCA dan MIC turut kehilangan sokongan pada PRU-14, manakala parti komponen di Sarawak mungkin menimbang untuk keluar daripada gagasan itu.

“Kita mesti melihat semua pilihan yang ada dengan serius. Model apa yang diinginkan? Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau Pertubuhan Kebangsaan Malaysia Bersatu? Apa DNA kita, asas kewujudan kita?

“Semua soalan ini mesti ditanya, kita tidak boleh kekal dengan acuan lama. Segala-galanya jelas kelihatan,” katanya.

Mengulas pembebasan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dari penjara esok, Khairy mengakui BN sebagai pembangkang harus bersedia berdepan dua pemimpin utama kerajaan.

“Kita menentang dua gergasi, dua nama besar dalam dunia politik. Kita perlu memastikan kita sudah siap sedia.

“Rakyat Malaysia memilih dua gergasi untuk memimpin kita, maka cabaran kami adalah untuk memastikan berperanan sebagai pembangkang.

“Saya ibarat semut menentang dua gergasi itu, dan saya perlu memastikan dapat berfikir dengan pantas dan cepat bergerak dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya – berita harian