SEREMBAN: Maaf dan terima kasih Malaysia. Bersama kita ketepikan perbezaan untuk Malaysia yang lebih baik bermula hari ini.

Demikian luahan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi laman sosial Facebook miliknya, susulan kegagalan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerajaan apabila hanya mendapat 79 daripada 222 kerusi Parlimen dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, hari ini adalah permulaan baru untuk Malaysia dan suara keramat rakyat memilih perubahan yang cukup jelas serta nyata.

Beliau berkata, peralihan kuasa perlu berlangsung dengan lancar tanpa sebarang percubaan untuk menafikan suara rakyat.

“Sebagai pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN), saya cuba sedaya upaya memberikan yang terbaik untuk rakyat Malaysia. Parti dan ahlinya memberi jasa kepada rakyat dan negara selama lebih 60 tahun ini, yang cacat dan cela datang daripada kami pemimpinnya.

LUAHAN Khairy menerusi laman sosial Facebook miliknya.
“Kekalahan ini adalah mesej yang jelas rakyat bahawa UMNO dan BN perlu bermuhasabah sedalam-dalamnya sebelum membuka langkah ke hadapan,” katanya.

Ahli Parlimen Rembau itu turut mengucapkan terima kasih di atas mandat yang diberikan rakyat Rembau dan akan terus bekerja keras untuk membangunkan kawasan berkenaan.

“Menuju ke hadapan, kita perlu menjadi gerakan politik yang lebih baik dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan lain, kerana rakyat dan ahli akar umbi adalah denyut nadi kita,” katanya – berita harian