Sudah enam minggu kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengenakan cukai petrol sejak kejatuhan harga minyak mentah dunia, kata Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun kata Khairy, rakyat tidak boleh merungut kerana PH dalam manifesto pilihan rayanya hanya berjanji ‘menstabilkan’ harga minyak dan bukan menurunkan harga bahan api itu.

“Seperti yang kita maklum, harga RON95 kekal pada harga RM2.20 seliter dari Mei sehingga akhir tahun ini.

“Rupa-rupanya, sudah enam minggu kerajaan PH kenakan cukai ke atas jualan petrol. Apa maksud saya? Maksud saya sudah 6 minggu rakyat membayar lebih dari harga pasaran.

“Tetapi rakyat tak boleh “mengomel” sebab ingat, janji pilihan raya bukan turun harga minyak tapi menstabilkan harga minyak,” katanya dalam satu hantaran di media sosial Facebooknya pagi ini.

Secara menyindir, Khairy mengucapkan tahniah kepada PH kerana berjaya menstabilkan harga RON 95.

“Syukur dapat kerajaan yang mengutamakan rakyat. Ini mestilah sebab kerajaan PH ini menyediakan subsidi yang besar untuk memastikan harga minyak tidak naik, bukan seperti zaman Barisan Nasional (BN)!” sindirnya – Malaysia kini

[Berita penuh menyusul]