KUALA KANGSAR: Kembara Kebajikan 1Malaysia (KK1M) 2018 Peringkat Negeri Perak di Karai hari ini membantu lebih 200 penduduk kawasan itu yang kurang bernasib baik, termasuk pesakit terlantar dan warga emas.

Program sehari itu dilancarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun di pekarangan dewan Kampung Loh, dekat sini.

Terdahulu beliau bersama-sama wakil beberapa jabatan dan agensi menyertai Konvoi KK1M melawat dan menyerahkan bantuan kepada lima penerima yang terdiri daripada pesakit terlantar dan warga emas.

Antara wakil jabatan dan agensi yang menyertai konvoi itu ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Perkeso, Yayasan Bina Upaya (YBU), Baitulmal, Jabatan Kesihatan serta Pejabat Daerah dan Tanah.

Pihak JKM meluluskan bantuan bulanan RM350 kepada setiap penerima manakala YBU menyumbangkan kotak makanan di samping membantu membaik pulih rumah warga emas, Yong Fong Kim melibatkan kos RM15,000.

Pihak Perkeso pula menyerahkan bantuan katil khas dan kerusi roda khas, kedua-duanya berjumlah lebih RM5,000 kepada pesakit terlantar, V. Letchumanan, 59, yang diserang strok sejak lebih 10 tahun lalu.

Selain itu, Letchumanan yang pernah bekerja sebagai penoreh getah di estate berhampiran, turut menerima pencen ilat RM520 sebulan di samping bekalan lampin pakai buang setiap bulan.

Ketika majlis pelancaran program, Zolkafly turut menyampaikan sumbangan beg makanan YBU kepada 200 penerima dari enam buah kampung di sekitar kawasan Karai.

Ketika ditemui selepasnya, beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik dan sentiasa bersedia untuk membantu pada bila-bila masa.

Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk Sungai Siput dan DUN Lintang khasnya untuk mendaftar menjadi sukarelawan JKM bagi mencari dan membantu golongan yang kurang bernasib baik.

“Malah, saya sendiri turut bersetuju mendaftar sebagai sukarelawan, sebagai galakan kepada anak-anak buah saya untuk sama-sama mendaftar dan membantu JKM,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program itu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JKM Perak, Zakaria Taib memberitahu, pihaknya mensasarkan untuk mendaftarkan 1,000 sukarelawan sepanjang program KK1M di negeri ini.