BAGAN DATUK – Penubuhan Komuniti Kraf Baru (KKB) berasaskan kelapa merupakan inisiatif kerajaan memastikan hasil kraf tangan daripada tanaman tersebut tidak pupus.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, langkah berkenaan bertepatan dengan potensi yang dilihat bagi menghasilkan produk hiliran ini.

“Selain digunakan sebagai minuman dan santan, kelapa juga mempunyai nilai komersial dalam penghasilan kraf daripada tempurung, sabut, pelepah serta batang kelapa itu sendiri.

“Namun tidak ramai yang menyedari peluang ini sehingga menyebabkan kurangnya produk kraf tangan daripada kelapa di pasaran,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran KKB di Kompleks Pelancongan Bagan Datuk, hari ini.

 Mohamed Nazri berkata, selain memastikan kraf tangan kelapa tidak pupus, penubuhan KKB juga adalah bertujuan menggalakkan penduduk mengeluarkan hasil kraf berkenaan.
-SinarHarian