JOHOR BAHRU : Punca sebenar kematian murid Tahun Satu, Nur Dinie Damia Muhammad Noor Ain,7, yang disyaki dijangkiti influenza, akan diumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam masa terdekat.

Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu, berkata kementerian mengarahkan pihaknya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai punca kematian murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Skudai itu buat masa ini.

“Harap maaf, saya tidak dapat memberikan butiran lanjut mengenai punca kematian Nur Dinie.

“Semua maklumat dan laporan termasuk hasil bedah siasat sudah diserahkan kepada KKM petang ini.

“Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai punca kematian Nur Dinie dalam masa terdekat di saluran yang boleh diakses orang ramai,” katanya ketika dihubungi.

Pagi tadi EXCO Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Johor, Aminolhuda Hassan, dilaporkan berkata laporan termasuk hasil bedah siasat Nur Dinie sedang diteliti Jabatan Kesihatan Johor sebelum dijangka diumumkan petang ini.

Punca sebenar kematian Nur Dinie yang meninggal dunia kira-kira jam 10.41 malam kelmarin menimbulkan tanda tanya apabila Aminolhuda dan Dr Aman, mengesahkan kanak-kanak itu dijangkiti influenza pada sidang media di Jabatan Kesihatan Johor pagi semalam.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal pula dilaporkan berkata, ujian polymerase chain reaction (PCR) dijalankan pakar HSA mendapati Nur Dinie negatif influenza dan kritikal disebabkan kegagalan hati dan buah pinggangnya.

Nur Dinie selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Haji Sirat, Kampung Kayu Ara Pasong, Pontian selepas empat hari kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA). -BH