PARIT BUNTAR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini bertindak lebih pantas dalam usaha menangani penyebaran berita palsu bagi mengelakkan suasana panik dan kekecohan, lebih-lebih lagi ketika memasuki fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, hampir setiap hari pihak KKM berdepan dengan berita-berita palsu membabitkan gejala COVID-19.

Menurutnya, KKM sentiasa memantau dan mengambil tindakan pantas terhadap penyebaran maklumat palsu bagi mengelakkan panik dalam kalangan rakyat.

“Orang ramai perlulah merujuk pihak terlibat terlebih dahulu berkaitan maklumat yang meragukan sebelum bertindak menyebarkannya.

ā€œMaklumkan juga kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja di Klinik Kesihatan Kuala Kurau di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Parit Buntar, Md Nayan Salleh.

Semalam, peniaga-peniaga penghantaran makanan segera bagi individu persendirian khususnya di Kerian tidak berpuas hati apabila tular satu posting yang mengatakan aktiviti penghantaran bagi individu persendirian tidak lagi dibenarkan.

Malah pelaku yang menulis posting itu, turut menerangkan larangan tersebut adalah dari Ketua Polis Daerah (KPD).

Namun sumber KKM dan polis telah memaklumkan maklumat yang tersebar itu adalah palsu dan aktiviti penghantaran masih lagi dibenarkan.