PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa ‘baby nanas’ jenama Dragon King dari Thailand yang tular didakwa mengandungi siklamat tidak dieksport ke Malaysia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, isu ini pernah tular di media sosial pada tahun 2017 dan pemantauan buah nanas import di pintu masuk negara dari tahun 2017 hingga sekarang telah ditingkatkan di mana sejumlah 65 sampel nanas telah di analisa dari pelbagai parameter dan didapati ke semuanya adalah mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Menurut The Joint FAO/WHO Expert Committee on Food Additives (JECFA), siklamat adalah sejenis pemanis tanpa zat yang memberikan rasa manis 30-50 kali ganda lebih daripada gula sukrosa.

“Peraturan-Peraturan Makanan 1985 tidak membenarkan penggunaan siklamat dalam buah-buahan segar termasuk yang telah dikupas atau sedia dimakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, KKM akan meneruskan pemantauan ke atas semua buah nanas di semua pintu masuk negara bagi memastikan ianya mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya, tindakan penguatkuasaan akan diambil.

“Semua makanan yang dieksport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya.

Tambah beliau, adalah menjadi tanggungjawab pihak yang terlibat seperti pengimport, ejen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan.

“Seksyen 13(B) Akta Makanan 1983 memperuntukkan tiada seorang pun boleh menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang diadukkan dengan mengandungi apa-apa bahan penambahannya tidak dibenarkan di bawah Akta Makanan 1983 atau peraturan-peraturan di bawahnya.

“Sesiapa yang didapati melanggar peruntukan ini adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau berkata, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM),” katanya. – Sinar Harian