PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sudah menjalankan siasatan terhadap dua pekerja pengendali pengimbasan terma yang tular sedang bermain telefon bimbit dan tidur di kaunter imbasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata dua pegawai berkenaan juga sudah diberikan surat amaran dan tunjuk sebab.

Katanya, disebabkan isu berkenaan pihaknya sudah memberi taklimat kepada semua petugas kesihatan yang menjaga kaunter terbabit bagi mempertingkatkan disiplin bagi memastikan saringan dan pemantauan akan dijalankan dengan lebih efektif.

“Saya sudah menonton video yang ditularkan itu, dan ternyata ia memberi perspektif yang tidak baik kerana tidur dan bermain telefon bimbit di kaunter berkenaan.

“Bagaimanapun, saya tidak mengetahui keadaan sebenar, jika kita bersangka baik mungkin pegawai yang sedang tidur itu sakit atau sebagainya, namun tindakan pegawai yang bermain ‘phone’ itu tidak boleh diambil mudah.

“Kita akan meningkatkan disiplin mereka ini, siasatan juga sudah dilakukan bersama dengan surat amaran,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial dua pegawai di kaunter imbasan terma sedang tidur dan bermain telefon bimbit semasa bertugas.

Keadaan itu sekali gus menimbulkan rasa bimbang di kalangan masyarakat mengenai kemasukan pelancong yang berkemungkinan membawa penyakit berjangkit tidak disaring dengan sewajarnya.