IPOH – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memberi keutamaan terhadap pembinaan Hospital Seri Iskandar yang disifatkan sebagai projek keperluan mendesak untuk rakyat.

Menterinya, Baru Bian berkata, selain projek itu, KKR juga sedang mengkaji semula kesemua projek yang telah diluluskan oleh pentadbiran terdahulu dan hanya akan mengutamakan pelaksanaan projek-projek yang penting kepada rakyat.

Katanya, kajian semula untuk kali kedua dan penyusunan projek-projek mengikut keutamaan itu perlu dilakukan ekoran situasi kewangan negara yang begitu mencabar.

“Keadaan kewangan begitu mencabar, kita perlu mengutamakan beberapa projek yang kritikal atau keperluan mendesak untuk rakyat.

“Banyak projek yang telah diluluskan dibawah rejim Barisan Nasional (BN) tapi keadaan ketika ini amat mencabar jadi kita perlu utamankan yang betul-betul penting,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan rasmi kepada Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu di sini pada Khamis.

Menurut beliau, pihaknya juga akan mengadakan perjumpaan dengan semua Menteri Besar dan juga Ketua-ketua Menteri seluruh negara bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai projek yang mempunyai keperluan mendesak untuk dilaksanakan terlebih dahulu.

“Saya telah pun menerima komen dan cadangan berkenaan beberapa projek yang diberi keumtanaan oleh kerajana negeri, walaupun telah ditangguhkan sebelum ini tapi kita akan lakukan kajian semula.

“Kalau betul-betul projek ini kritikal dan perlu dilanjutkan, diteruskan demi rakyat kita (KKR) akan berbincang sekali lagi dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan juga Kementerian Kewangan supaya ia dapat diteruskan,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri yakin dengan kepimpinan KKR dan juga barisan kabinet pusat untuk meneruskan projek-projek yang dirancang termasuk Hospital Seri Iskandar mengikut kemampuan kerajaan.

“Kerajaan negeri faham masalah dihadapi kerajaan persekutuan. Keutamana kami ketika ini adalah rakyat dan dalam hal ini Perak dan Kementerian Kerja Raya satu hati,” ujarnya.