IPOH: Kerajaan negeri akan meminta jabatan dan agensi yang berkenaan supaya menganjurkan klinik keusahawanan untuk membantu usahawan tempatan meningkatkan mutu produk mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, antara agensi berkenaan yang boleh membantu ialah MIDA, MARDI dan MARA.
Menurut beliau, agensi-agensi ini boleh bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perniagaan seperti Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Melayu Perak (DPPMP) dan Persatuan Pedagang Dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) Perak untuk mendapatkan ahli-ahli yang aktif dan berpotensi untuk diketengahkan.

“Kadang-kadang mereka ini memerlukan sedikit sentuhan daripada agensi, kerajaan dan industri untuk bantu supaya boleh meningkatkan lagi mutu produk masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas memberi ucaptama pada Bengkel Mengenai Pembungkusan Plastik Fleksibel & Pemadanan Perniagaan di Meru Valley Resort dekat sini pada Selasa.

Bengkel sehari itu adalah anjuran bersama kerajaan negeri, MIDA, PKNP, PESDC, MPMA, PeKA, DPPMP, PERDASAMA, Plast dan Meru Valley Resort Berhad.

Hadir sama, Pengarah MIDA Perak, Wan Noraini Abdul Rahman, Pengerusi Persatuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Perak, Datuk Gan Tack Kong, Yang Dipertua DPPMP, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah, Pengerusi PERDASAMA Perak, Suhaida Mohd Hashim dan Pengurus Besar Pembangunan Industri & Promosi PKNP, Shazil Hifni Dahalan.
Menurut Zahir, usahawan yang telah berjaya juga boleh dilibatkan di dalam klinik yang dicadangkan untuk bersama-sama berkongsi pengalaman mereka membantu usahawan yang mahu pergi lebih jauh.

“Kita perlu bersaing dengan negara lain, oleh itu kita punya kualiti, pembungkusan dan jenama kena baik di samping maklumat kena betul tetapi harga mesti kompetatif,” ujar beliau.

Beliau memberitahu, bengkel sehari itu adalah susulan daripada program yang diadakan ketika Pangkor Dialogue bagi menemukan kumpulan-kumpulan yang berkepentingan agar dapat dikenalpasti masalah mereka dan mencari jalan penyelesaiannya.

Selain daripada perjumpaan antara pemain industri plastik dengan usahawan, perbincangan mengenai industri halal juga telah diadakan diperingkatkan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh MIDA bersama-sama agensi berkenaan dan NGO.