MANJOI – Klinik Kesihatan Manjoi yang menjadi salah satu keperluan mendesak penduduk Gugusan Manjoi kini direalisasikan kerajaan pembinaannya.

Majlis pecah tanah bagi membina klinik kesihatan kelas 3 yang bernilai RM25 juta itu telah disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tengahari tadi.

“Majlis hari ini adalah bukti kerajaan tidak sekadar membuat janji. Hari ini kita bukan sekadar pecah tanah tetapi kerja-kerja sebenar telahpun berjalan. Setakat ini projek telah berjalan sebanyak 4 peratus,” katanya kepada pemberita.

Klinik kesihatan yang mempunyai empat tingkat di Jalan Masjid bakal menggantikan klinik kesihatan sedia ada yang sudah agak ketinggalan daripada segi perkhidmatan kerana sudah berusia 47 tahun.

Dijangka siap 2020, klinik ini menyediakan perkhidmatan dan rawatan yang lebih moden serta selesa termasuklah klinik pesakit luar dan kecemasan, klinik ibu dan kanak-kanak, kesihatan pergigian, pengimejan (X-ray) dan perkhidmatan farmasi, rehabilitasi serta makmal patologi,” katanya.

“Walaupun kawasan Manjoi terletak tidak jauh daripada Hospital Tuanku Bainun, tapi kita sedar akan keperluan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang baik dan moden di sini.

“Ia bakal dimanfaat lebih 40,000 penduduk di sini dan sudah tentu dengan wujudnya klinik ini ia bakal memberi perkhidmatan sokongan dan mengurangkan kesesakan di hospital besar,” katanya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada penyandang DUN Manjoi Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin yang menurut Dr Zambry begitu komited memastikan projek klinik kesihatan ini dapat dilaksanakan.

Sementara itu, Mohamad Ziad beliau berbangga apabila projek berjaya direalisasikan selepas status tanah klinik itu juga berjaya diselesaikan sebelum projek pembinaan dilaksanakan pada 20 Februari lalu.

“Klinik berkenaan dianggarkan sudah berusia 47 tahun dan penduduk sebelum ini tidak selesa menerima rawatan dengan menunggu di bawah khemah tetapi kini, mereka boleh menarik nafas lega.

“Lebih 30,000 penduduk mendapat rawatan daripada klinik ini setahun dan saya percaya dengan adanya kemudahan lebih moden dan selesa ia akan mengembirakan penduduk di sini,” katanya.

Menurutnya, Klinik Kesihatan Manjoi juga bakal menjadi mercu tanda baharu pembangunan kerajaan BN di kawasan itu.

Pada masa sama, hasrat menjadikan rakyat Manjoi sihat dan cerdas juga berjaya direalisasikan apabila sebuah taman rekreasi bernilai hampir RM500,000 itu siap dibina di Jalan Tapah di sini.

Mohamad Ziad berkata, kawasan terbiar berhampiran Stadium Mini Manjoi itu kini berubah landskap menjadi pusat rekreasi penduduk untuk beriadah dan bersenam dengan pemandangan indah dari lombong berhampiran.

“Dengan adanya tempat rekreasi penduduk secara tidak langsung dapat mengubah sebarang aktiviti negatif sebelum ini kepada program yang lebih sihat untuk masyarakat setempat.

“Sebagai wakil rakyat, saya gembira mendengar reaksi rakyat yang berkunjung dan menerima manfaat daripada projek yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada majlis pecah tanah Permukiman MB Daerah Kinta lalu,” katanya.

Mohamad Ziad berkata, kerajaan negeri meluluskan sejumlah RM12 juta bagi menaiktaraf dan melebarkan Jalan Jelapang–Chemor sedikit sebanyak membantu merancakkan pembangunan Manjoi.

“Projek yang sudah pun bermula itu bakal memberi manfaat kepada ribuan pengguna jalan raya berkenaan yang dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas selain meningkatkan keselamatan pengguna.

“Kepimpinan Dr Zambry juga telah merancakkan kegiatan ekonomi di kawasan Meru Raya. Bulatan Amanjaya menjadi tarikan baharu rakyat selain Taman Tema Animasi Studio (Maps) sekaligus menjadikan Manjoi menerima limpahan pembangunan terancang,” katanya.

Katanya, kepimpinan Dr Zambry memberi keyakinan untuk beliau menggalas tugas bagi memastikan hasrat rakyat dapat direalisasikan sekaligus menyentuh denyut nadi rakyat dalam kawasan Manjoi.

BERITA BERKENAANBR1M Bantuan Ikhlas Untuk Rakyat, Jangan Perlekeh – PM

1/5